RAMADAN BERKUNJUNG TIBA... 1436 HIJRAH/2015 MASEHI
Alhamdulillah, sudah 11 hari kita telah menjalani ibadah puasa fardhu Ramadan pada tahun ini. Seperti yang kita sedia maklum, bulan Ramadan adalah bulan yang berkat dan dipenuhi dengan limpah kurniaan Allah swt. Justeru, marilah kita merebut peluang yang ada ini dengan menambah ibadah-ibadah sunat di samping memperbaiki ibadah yang fardhu.
Bulan Ramadan terkenal dengan gelaran 'Bulan Al-Quran' kerana 30 juzuk ayat-ayat suci kitab ini diturunkan pada bulan yang mulia ini. Umum mengetahui bahawa, sambutan Hari Nuzul Al-Quran disambut bagi memperingati peristiwa penurunan kitab suci yang menjadi panduan bagi umat manusia. Secara hakikatnya, kitab suci Al-Quran ini telah diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w pada tanggal 23 Ramadan. Oleh itu, marilah kita bersama-sama menginsafi diri daripada segala perbuatan maksiat kepada Allah swt dan menyucikan diri dengan menghidupkan roh Al-Quran di dalam jiwa nurani kita. Bertaqwalah kepada Allah Azza Wajjalla dengan menjalankan segala perintah dan suruhan-Nya serta meninggalkan segala tegahan seterusnya larangan-Nya.
Ramadan Al-Mubarak juga tidak dapat dipisahkan dengan ibadah-ibadah yang lain selain fardhu puasa sehinggakan ada ungkapan yang dikaitkan dengan bulan ini iatu 'menjalani ibadah puasa di siang hari manakala menghidupkan pada malam-malam harinya. Antara ibadah dianjurkan kepada kita ialah Solat Sunat Tarawih. Solat ini hanyalah terdapat di dalam bulan Ramadan sahaja. Dalam erti kata yang lain, maksud Tarawih ialah Rehat manakala Solat Tarawih pula bermaksud Solat Rehat-rehat. Oleh itu, tiada rakaat khusus yang dituntut kepada kita untuk mendirikannya. Dirikanlah sehingga mana yang kita mampu tunaikan. Pada zaman pemerintahan Khalifah ketiga dalam Kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin iaitu Saidina Usman bin Affan r.a. solat sunat ini telah ditunaikan sehingga 50 rakaat dek kerana ketaqwaan kepada Allah swt yang kekal utuh dan tiada tolok bandingnya selain mengimarahkan malam Ramadan.
Seterusnya, di samping menunaikan Solat Tarawih, kita juga dianjurkan oleh menghidupkan malam Ramadan dengan menjalani Tadarus Al-Quran, Solat Tahajjud, Qiamullail dan sebagainya. Hal ini kerana ganjaran yang diberikan kepada kita dalam bulan ini digandakan dari 10 hinggalah 700 kali ganjaran kepada sesiapa yang diinginkan oleh Allah swt. Rahmat Ramadan bagi orang yang berpuasa seperti sedia maklum ialah dapat memasuki pintu syurga yang bernama 'Ar-Rayyan', ikan-ikan di lautan memohon keampunan Allah swt, dilipat gandakan ganjaran di atas amalan-amalan yang dilakukan, syurga dihiasi indah dan dibuka pintu-pintu syurga seluas-luasnya serta ditutup segala pintu-pintu neraka seterusnya dibelenggu syaitan-syaitan yang direjam.
Rahmat Ramadan tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya terdapat satu malam di dalamnya yang lebih baik daripada seribu bulan iatu malam 'Al-Qadar' atau lebih dikenali sebagai malam 'Lailatul Qadar'. Malam inilah Al-Quran yang menjadi mukjizat agung Rasulullah s.a.w diturunkan kepada baginda. Jumhur para ulama' telah menafsirkan bahawa malam Al-Qadar jatuh pada hari-hari yang ganjil dalam bulan Ramadan. Meskipun begitu, hanya Allah swt yang mengetahui tentang malam yang berlaku tersebut kerana Dialah Tuhan Yang Maha Mengetahui akan sesuatu.
Konklusinya, amatlah kita semua beruntung kerana dapat menjalani ibadah puasa pada tahun ini dan bersama-sama berada di dalam penghulu segala bulan iatu Ramadan Karim. Ikhtisasnya, rebutlah sebanyak mungkin peluang yang dihidangkan di hadapan kita untuk meningkatkan lagi ketaqwaan kepada Allah swt dan memperbaiki segala kelemahan pada diri. Jadikanlah Ramadan sebagai platform kepada kita untuk mengubah diri kita ke arah yang lebih baik lagi dan cara untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa.
Salam Ramadan Al-Mubarak 1436 Hijrah