Sunday 11 December 2016

DAULAT TUANKU


Bagaikan payung Negara,
Melindungi segala,
Pembela Negara yang disanjung dipuja,
Semoga dilindungi-Nya.

Titah baginda kami junjung,
Jasa baginda kami sanjung,
Demi mempertahan kedaulatan Negara,
Dinobat serata dunia.

Kami doakan ,
Kami pohonkan,
Kedaulatan dan Kesejahteraan.

Menjunjung adat,
Menjulang martabat,
Daulat Tuanku,
Dirgahayu Tuanku.

Berdiri megah di mata dunia,
Dihomati dipandang mulia,
Baginda tetap di hati rakyat jelata,
Tak kira bangsa agama.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik dengan limpah kurnia Tuanku jua menzahirkan ucapan setinggi-tinggi Menjunjung Kasih di atas perkhidmatan Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ke XIV dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong ke XIV. Patik mendoakan kepada Allah swt supaya melanjutkan usia dan pemerintahan Tuanku, kekal berdaulat di atas singahsana kerajaan dengan penuh kebesaran dan keadilan, dikurniakan kesihatan yang berkekalan, diberi taufik dan hidayah-Nya serta diberkati pemerintahan di atas tahta kerajaan. Aminn Ya Rabbal A'lamin.

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Dirgahayu Tuanku.

Wednesday 5 October 2016

ASBAB NUZUL

Bismillah Hi Rahman Nir Rahim. Assalamualaikum wbt, Salam 1 Malaysia, Salam Muafakat Kedah dan Salam Kedah Serata-rata.

Asbab Nuzul secara umumnya adalah ilmu berkaitan sebab-sebab yang mengakibatkan turunnya ayat-ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W. Asbab Nuzul ialah dengan mengambil sempena berlakunya peristiwa, lalu turunlah ayat yang menceritakan tentang peristiwa tersebut dan ianya dinamakan Sebab Nuzul. Sebagai contoh, hadis riwayat daripada Muaz ibn Jabal katanya,

" Sesungguhnya seorang Yahudi telah menipu kami dan menambah masalah kami, dan bertanya berkaitan dengan anak bulan. Kenapa anak bulan itu mula-mula kecil bentuknya, kemudian semakin besar sehinggalah menjadi separuh, kemudian menjadi purnama, dan kemudian kurang, mengecil balik hingga kedudukannya yang asal ". 

Maka Allah swt turunkan ayat Al-Quran sebagaimana firmannya:

" Mereka bertanya kepada kamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: (peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa, dan masuklah ke rumah (kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya". (Al-Baqarah: 189) 

PENGERTIAN 
Bahasa: Dari segi sudut bahasa, Sebab Nuzul terdiri daripada dua perkataan iatu 'Asbab' dan 'An-Nuzul'. Sebab membawa makna sebab, alasan, lihat dan perantaraan. Manakala an-nuzul membawa makna penurunan Al-Quran dari Allah swt kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibrail. Maka dapat difahami Asbab Nuzul bermaksud sebab-sebab turunya ayat-ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Istilah:  Dari sudut istilah, ia membawa makna:
  • Apa-apa yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat atau beberapa ayat atau pemberian jawapan terhadap sebabnya ataupun untuk menerangkan hukumnya pada masa berlakunya peristiwa tersebut.
  • Menurut Manna' al-Qaththan as-Shalil berpendapat Sebab Nuzul ialah sesuatu yang kerana sesuatu itu menyebabkan satu atau beberapa ayat Al-Quran diturunkan (menjawab atau menjelaskan hukum) di saat sesuatu itu terjadi.
  • Dalam keadaan lain, ulama' mentakrifkan Sebab Nuzul ialah penurunan ayat untuk menjelaskan peristiwa yang berlaku atau menjawab pertanyaan yang dikemukakan kepada Nabi Muhammad S.A.W atau memberi penjelasan hukum terhadap sesuatu peristiwa yang berlaku.
Kepentingan Mempelajari Ilmu Asbab Nuzul Al-Quran
  1. Mengetahui hikmat diperundangkan sesuatu hukum.
  2. Mengetahui bahawa syariat Islam memberi perhatian yang serius terhadap kepentingan umum, terutama dalam menghadapi segala peristiwa, demi umat Islam yang terhormat dan mulia.
  3. Mengkhususkan dan membataskan hukum itu dinyatakan dalam bentuk umum.
  4. Membantu dan memudahkan seseorang menghafaz Al-Quran.
  5. Membantu ahli tafsir dan ahli Fiqh dalam menistinbat hukum.
  6. Mengetahui pengkhususan hukum.
  7. Memberi maklumat untuk membezakan ayat makki dan madani.
  8. Untuk mengetahui dan mengenal pasti ayat nasakh dan mansukh.

Wednesday 28 September 2016

MA'AL HIJRAH 1438 HIJRAH. UKHWAH ISLAMIYYAH ASAS PENYATUAN UMMAH

Bismillahi Rahman Nir Rahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1 Malaysia dan Salam Muafakat Kedah. Allahum'ma Solli A'la Saiyidina Muhammad, Wa'ala Alihi Wasohbihi Ajmain. 

"Ya Ai'yuhannas, Ittaqulallah, Fusikum Wai'yya Bitaqulallah, Faqad Fazal Mutta'qun."

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah swt kerana telah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita dan dua nikmat yang terbesar dalam hidup ini iatu, nikmat Islam dan Iman. 
2. Selang beberapa hari lagi kita akan menyambut dan merayakan sambutan Ma'al Hijrah bagi tahun 1438 Hijrah atau lebih tepatnya pada tanggal 01 Muharram 1438 Hijrah bersamaan 02 Oktober 2016 Masehi.
3. Sesungguhnya, sambutan Ma'al Hijrah ini merupakan tahun baru dalam kalender Islam yang mempunyai 12 belas bulan kesemuanya iatu Muharram, Safar, Rabiulawwal, Rabiulakhir, Jamadilawwal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawwal, Zulkaedah, Zulhijjah.

4. Di antara 12 bulan tersebut terdapat bulan yang istimewa, bulan haram, bulan haji, bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, bulan Al-Quran dan lain-lain lagi.

5. Signifikannya dalam menyambut ulang tahun baru Islam ini supaya umat Islam mengambil iktibar dan ibrah' dalam peristiwa hijrah yang dilakukan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat dari kota Makkah ke kota Madinah. 

6. Sebagai umat Islam yang mencintai Rasulullah S.A.W, marilah kita mengambil iktibar dan ibrah' serta mengaplikasikan akhlak nabawiah ke dalam roh diri kita supaya kehidupan kita di atas bumi ini sentiasa berada dalam keredhaan Allah swt.

7. Berbalik kepada peristiwa hijrah, ketika puak Quraisy merancang untuk membunuh Rasulullah S.A.W, Allah swt telah memerintahkan supaya baginda Nabi Muhammad S.A.W berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah (Kota Bercahaya) atau sebelumnya dikenali sebagai Yastrib.

8. Baginda berhijrah bersama Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. (Khalifah pertama Kerajaan Khulafa' Ar-Rasyiddin) ke Madinah. 

9. Sebelum tiba di Madinah, baginda dan sahabat berehat dan bersembunyi di Gua Thur kerana sepanjang perjalanan nyawa baginda menjadi ancaman dan diekori oleh musuhnya.
10. Setibanya di Madinah Al-Munawwarah, baginda disambut oleh penduduk Madinah dengan meriahnya sambil dialuni oleh qasidah yang memuji-muji kerasulan baginda.
11. Baginda bersama para sahabat telah mendirikan Masjid Quba' iatu masjid pertama dalam sejarah Islam. Masjid tersebut terletak kira-kira 10 km dari Masjidil Nabawi.
12. Baginda telah mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin (penduduk Makkah dan penduduk Madinah). Masing-masingnya mempunyai tanggungjawab antara satu sama lain.

13. Seantero dengan itu, maka tertubuhlah sebuah negara Islam pertama yang dipimpini oleh Nabi Muhammad S.A.W dan diasaskan oleh Piagam Madinah yang merupakan Perlembagaan Negara bertulis pertama di dunia ketika itu.

14. Selepas peristiwa hijrah ini, Islam telah tersebar dan berkembang dengan pesat sehingga ke hari ini.

15. Seterusnya, pengenalan kalendar Hijrah ini telah dilakukan ketika pemerintahan Kerajaan Khulafa' Ar-Rasyiddin iatu oleh khalifah yang kedua, Sayidina Umar Al-Khattab r.a.

16. Akhir kalam, editor blog PENCETUS TRANSFORMASI ingin mengucapkan Selamat Menyambut Awwal Muharram 1438 Hijrah bersamaan 2016 Masehi. 

UKHWAH ISLAMIYYAH ASAS PENYATUAN UMMAH

Sekian, terima kasih.




Sunday 11 September 2016

SALAM AIDILADHA 1437 HIJRAH





Assalamualaikum wbt, Salam 1 Malaysia dan Salam Muafakat Kedah

Editor blog Pencetus Transformasi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha 1437 Hijrah bersamaan 2016 Masehi kepada seluruh umat Islam.

Raikanlah hari lebaran ini dengan penuh kesyukuran dan ketaqwaan kepada Allah swt serta ikhlas dalam menjalani ibadah korban seperti yang telah difirmankan oleh Allah swt dalam Surah Al-Haj mafhumnya daging dan darah sembelihan binatang korban tidak sampai ke sisi Allah swt melainkan ketaqwaan.

Akhir sekali, di hari yang mulia ini, marilah kita bersama-sama bersatu atas paksi agama dan mengukuhkan lagi ikatan silaturrahim.

Sekian, terima kasih

Tuesday 16 August 2016

JOM MASUK USAS (UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH MALAYSIA)





UNIVERSITI SULTAN AZLAN SHAH MALAYSIA

Sejarah:

USAS atau sebelum ini dikenali sebagai KUISAS (dulu KISDAR) adalah hasil cetusan idea Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada tahun 1986. Ia kemudiannya direalisasikan pada tahun 1999 dengan kampus sementara yang terletak di Jalan Datuk Seri Shaari, Off Jalan Raja DiHilir, Ipoh dan dirasmikan oleh baginda pada 16 Oktober 1999. KISDAR telah ditubuhkan di bawah Enakmen Bil. 3 Tahun 2000, Enakmen Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan. Enakmen ini telah dibentang dan diluluskan oleh Dewan Negeri Perak pada 19 November 2001 dan telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak pada 6 Mac 2002.


Pada 8 Februari 2006, Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan kerja-kerja pembinaan kampus tetap KISDAR (sekarang KUISAS) di atas sebidang tanah yang diwakafkan Pemangku Raja Perak (sekarang Paduka Seri Sultan Perak), Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Shah di Chandan PutriKuala Kangsar. Kampus tetap dengan kos pembinaan mencecah RM66 juta ini kemudiannya siap pada tahun 2008.

Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS) pada mulanya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) ditubuhkan pada tahun 1999 oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan didaftarkan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Perak di bawah Enakmen Kawalan Sekolah - sekolah Agama Islam 1996. KISDAR menjadi Badan Berkanun Kerajaan Negeri Perak menerusi Enakmen Kolej Islam Darul Ridzuan (Enakmen Bilangan 3 Tahun 2000) .

Pada 19 disember 2013 Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan (sekarang Paduka Seri Sultan Perak) Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sempurna merasmikan naiktaraf KISDAR kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS)

Pada tanggal 10 jun 2016 Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak membuat pengumuman dengan rasminya. Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) dinaikkan taraf menjadi universiti penuh berkuat kuasa serta-merta dan dikenali sebagai Universiti Sultan Azlan Shah Malaysia (USAS) yang menerima geran tahunan daripada Kerajaan Pusat

“Pengumuman ini merupakan kesinambungan sejarah Kuala Kangsar sebagai bandar pendidikan tertua negara yang turut menempatkan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford dan Masdrasah Idrisiah". katanya.

Sehingga kini, Ogos 2016, USAS mempunyai dua buah fakulti iatu:

- Fakulti Pengajian Islam
- Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat

Antara program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda yang ditawarkan di USAS ialah:

  1. Diploma Pengajian Islam
  2. Diploma Usuluddin
  3. Diploma Bahasa Arab dengan Pendidikan
  4. Diploma Tahfiz Al-Quran Wa Al Qiraat
  5. Diploma Kaunseling Islami
  6. Diploma Pentadbiran Perniagaan
  7. Diploma Muammalat
  8. Diploma Perbankan dan Kewangan Islam
  9. Diploma Teknologi Maklumat
  10. Diploma Komunikasi Islam
  11. Diploma Perakaunan
  12. Diploma Sains Komputer dan Rangkaian
  13. Diploma Multimedia dan Dakwah
  14. Diploma Syariah Islamiah
  • Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam
  • Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis)
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Hons) Pemasaran
  • Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam (Hons)
  • Ijazah Sarjana Muda Syariah Gunaan 
  • Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Hons)
  • Ijazah Sarjana Muda Kaunseling (Hons)
  • Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Hons) Keusahawanan
  • Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Hons)

Antara program Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) ialah:

  1. Ijazah Sarjana Pentadbiran
  2. Ijazah Sarjana Usuluddin
  3. Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan
  4. Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat
  5. Ijazah Sarjana Syariah Gunaan
  • PhD Sains (Teknologi)
  • PhD Syariah Gunaan
  • PhD Pengurusan
  • PhD Usuluddin 
Antara prasarana yang berada di USAS:

- Majid Universiti Sultan Azlan Shah
- Auditorium
- Perpustakaan
- Kolej Kediaman Mahasiswa (Asrama)
- Makmal Komputer
- Makmal Bahasa
- Makmal Kejuruteraan
- Bilik Kuliah (dilengkapi oleh penghawa dingin)
- Stadium mini hoki
- Gelenggang bola keranjang
- Gelanggang bola baling
- Gelanggang bola jaring
- Padang bola sepak
- Kafeteria
- Klinik Ar-Ridhuan (Aras bawah bangunan pentadbiran)
- Galeri USAS (menyimpan pelbagai koleksi di USAS)
- Dewan Serbaguna USAS
- Gelanggang badminton (Dewan Serbaguna USAS)

Kemudahan berhampiran USAS:

  • Dewan Jubli Perak
  • Stesen KTMB Kuala Kangsar
  • BSN, CIMB,  BANK ISLAM, RHB, BANK RAKYAT
  • Pejabat Pos Kuala Kangsar
  • Balai Polis Kuala Kangsar
  • Stesen Bas dan Teksi, Kuala Kangsar
Antara Tempat Menarik Sekitar USAS:

  • Istana Iskandariah (3 km)
  • Masjid Ubudiah (3 km)
  • Muzium DiRaja Perak (3 km)
  • Madrasah Idrisiah
  • Galeri Sultan Azlan Shah (2.8 km)
  • Laman Budaya [taman reakrasi] (2.5 km)
  • Perpustakaan Awam Kuala Kangsar (2.5 km)
  • Kolam Renang Awam Kuala Kangsar (2 km)
  • Maktab Melayu Kuala Kangsar [MCKK] (7 km)
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford (7 km)
  • Jambatan Victoria [Victoria Bridge] (25 km)

Apa tunggu lagi? Jom masuk USAS. Untuk maklumat lanjut layari www.usas.edu.my


Sunday 14 August 2016

POKEMON GO. APA KESUDAHANNYA?

POKEMON GO, SATU APLIKASI MELALAIKAN UMAT ISLAM

Bismillah Hi Rahman Nir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1 Malaysia dan Salam Muafakat Kedah.

Demam Pokemon Go kini telah melanda negara kita. Aplikasi ini telah diciptakan di Amerika Syarikat lewat bulan Jun 2016 dan kini aplikasi Pokemon Go boleh dimuat turun dalam aplikasi 'Play Store' dan lain-lain lagi. Dalam konteks agama Islam, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur apatah lagi untuk bermain permainan asalkan permainan tersebut tidak membawa kepada kemudaratan diri, ancaman keselamatan dan melalaikan. Islam juga membenarkan umatnya untuk bermain permainan atau bersukan yang boleh menyihatkan tubuh badan dan mencergaskan otak. Namun begitu, terdapat batasan-batasan yang perlu dipatuhi oleh umat Islam dalam bermain permainan dalam bentuk maya atau lahiriah. Antaranya ialah tidak meninggalkan 'Hublum Minallah, Wahablum Minan Nas' iatu perhubungan dengan Allah yakni menjalankan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, menjalinkan hubungan silaturrahim sesama insan.

Sebenarnya aplikasi Pokemon Go ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada umat Islam bahkan mendatangkan pelbagai ancaman keselamatan terhadap diri, keluarga dan negara selain membawa kepada kelalaian dalam melaksanakan tuntutan syariat Islam. Apabila keburukan lebih banyak daripada kebaikan, maka hukum menurut kaedah Fiqh Islami adalah haram. Justeru, menyedari tentang bahayanya permainan Pokemon Go ini, maka Mufti-Mufti di negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Terengganu telah menfatwakan bahawa aplikasi permainan Pokemon Go adalah haram dan umat Islam dilarang untuk bermain aplikasi ini. Hal ini juga telah disepakati dalam Muzakarah Kebangsaan Malaysia.

Saya juga menyokong dengan saranan Menteri Besar Kedah Darul Aman, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah supaya diwujudkan satu undang-undang khusus untuk menyekat permainan ini dari segi aspek penguatkuasaan. Oleh itu, menyedari tentang ancaman permainan kepada keselamatan negara, maka pihak yang berkenaan perlulah mengambil tindakkan yang sewajarnya supaya keselamatan negara sentiasa terpelihara. Saya berharap agar permainan Pokemon Go ataupun apa-apa permainan yang boleh membahayakan nyawa dan memberi ancaman terhadap keselamatan negara serta melalaikan umat Islam dapatlah disekat dan dikenakan tindakkan yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Monday 8 August 2016

HASAN AL-BANA

Nama diberi Hasan Abdul Rahman Al-Bana,
Lahir pada hari Ahad, 14 Oktober 1906,
Bersamaan 25 Syaaban 1324 Hijrah,
Di daerah Buhayrah, Iskandariah, Mesir
Nama ibunya Ummu Saad Ibrahim Saqar,
Nama ayahnya Ahmad Abdul Rahman Al-Bana,
Anak sulung daripada tujuh beradik.

Telah bertunang pada satu Ramadan,
Berkahwin pada 27 Ramadan,
Isterinya bernama Lathifah Husain Ash-Shuli,
Dan mempunyai enam orang anak,
Kesemuanya berbakti kepada agama.

Hasan Al-Bana bukan calang-calang orangnya,
Separuh Al-Qurah telah dihafalnya seusia 12 tahun,
Hasil dorongan ayahanda tercinta,
Tamat hafalan Al-Quran di usia 16 tahun,
Juga mempunyai kemahiran membaiki jam,
Tamat diploma graduasi di Darul Ulum,
Yang kini dikenali sebagai Universiti Kaherah,
Dengan pangkat pertama,
Ijazahnya juga dari tempat yang sama.

Karyanya kita baca pagi dan petang iatu Al-Mathurat,
Maqalat Hasan Al-Bana nasihat buat pemengang Ikhwanul Muslimin,
Muzakirah Ad-Da'wa Wa Daieyah buat panduan para dai'e,
Risaail Al-Imamu Syahid tercatat riwayat hidupnya,
Ituhlah kisah penubuh Ikhwanul Muslimin,
Yang telah syahid tanggal 12 Februari 1949,
Di usia muda 43 tahun.

Hasan Al-Bana penubuh Ikhwanul Muslimin,
Ditubuhkan pada Mac 1928 pada usianya 23 tahun,
Ditubuhkan bersama adik dan lima orang sahabatnya,
Berpusat di Mesir mempengaruhi dunia,
Mempunyai anggota sebanyak dua seluruh dunia,
Matlamat utama mempengaruhi untuk kembali Al-Quran dan As-Sunnah,
Kerana itulah asas kita.

Ikhwanul Muslimin usahanya menggulingkan British,
Usaha membuang kerosakkan dari Mesir,
Harapan agama dinaikkan kembali.

Pada 8 November 1943,
Ikhwanul Muslimin diharamkan di Mesir,
Semua cawangan diarah bubar,
Mulalah fitnah serata tempat.

Hasan Al-Bana merasa tempias,
Mula dikecam serata tempat,
Tujuh das tembakan singgah di badan,
Tamatlah sudah sumbangan dalam Ikhwanul Muslimin.


Hasan Al-Bana ada wasiat,
Beliau gariskan sepuluh sifat,
Semua ini tertanam sifat dalam dirinya peribadi terangkat,
Yang pertama segerakan solat tatkala azan,
Walau apapun jua keadaan kita,
Yang kedua jangan tinggalkan Al-Quran,
Bacalah, telaahlah dan kajilah,
Yang ketiga dalamilah Bahasa Arab dengan penuh kesungguhan,
Yang keempat janganlah berdebat dalam semua urusan,
Yang kelima jangan banyakkan ketawa,
Kerana ketawa melalaikan hati dan banyakkan zikirullah,
Yang keenam yang suka bergurau,
Kerana bergurau seperti mempermainkan,
Kerana jihad itu perlu kesungguhan,
Yang ketujuh lembutkan suara kepada pendengar,
Kerana suara yang keras menyakitkan hatinya,
Yang kelapan jangat mengumpat,
Dan berkatalah benda yang membawa kebaikan,
Yang kesembilan berkenalanlah dan hubungkan hubungan sesama Islam,
Kerana itulah tali persaudaraan,
Yang kesepuluh gunakan masa dengan kebaikan,
Kerana kewajipanmu itu lebih bermakna daripada yang kamu ada.


As-Syahid Hasan Al-Bana,
Membina tamadun ummah,
Seimbang dunia dan akhirat,
Agama dan politik tidak dipisah,
Dijalankan dengan selari,
Kembali memuncak tinggi Fiqh politik Islami,
Membangkitkan ummah daripada kelalaian jumud, taqlid dan mundur,
Berjuang sepenuh hati,
Yakin akan jalan Allah ini.

Tarbiah dan agama tidak boleh ditinggalkan sama sekali,
Mesti seiring sehidup semati,
Biar di perang dan posisi bahaya,
As-Syahid tetap akan pendiriannya,
Segalanya tetap seperti biasa,
Perginya beliau di tangan pendusta,
Tetapi beliau tetap diingat sepanjang zaman,
Mencorak aqidah pegangan semasa,
Itulah pengorbanan As-Syahid Hasan Al-Bana.


- AL-FATIHAH -

Sunday 7 August 2016

HAYATI ERTI KEMERDEKAAN






Bismillah Hi Rahman Nir Rahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1 Malaysia, Salam Muafakat Kedah dan Salam Sehati Sejiwa.

Inalhamdulillah Wanastainuhu Wanastaqfirlahu, Maiyahdillah Mudhilallah Fal'lla Ha Diya'lah, Fusikum Wai'yya Bitaqwallah, Faqad Fazal Muttaqun.


Merdeka. Itulah kalimah yang membawa erti kebebasan daripada kebelenguan rakusan penjajah yang zalim dan tidak prikemanusiaan. Kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini bukanlah datang secara bergolek tetapi memerlukan jerih payah pengorbanan dan kesabaran para pejuang kemerdekaan untuk mendapat kebebasan negara daripada cengkaman penjajah yang telah bertapak berkurun lamanya di bumi Malaysia ini sejak tahun 1511 lagi.

Daripada Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Johor, Negeri- negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu sehinggalah Persekutuan Malaysia pada hari ini telah menyaksikan bahawa perjuangan untuk menuntut kemerdekaan tidak berhenti begitu sahaja sehinggalah negara kita mendapat status kemerdekaan mutlak pada tanggal 31 Ogos 1957.

Sidang pembaca sekalian,

Sungguhpun negara kita telah merdeka selama 60 tahun, tetapi sayangnya terdapat segelintir rakyat yang masih mempunyai tahap mentaliti rendah dalam menyuburkan semangat patriotisme. Hal ini demikian kerana golongan tersebut tidak bijak dalam membezakan antara patriotisme dan politik. Apabila patriotisme disalahertikan sebagai politik, maka penghayatan erti kemerdekaan  akan berkurangan dalam jiwa dan minda. Ingatlah bahawa proses mendapatkan kemerdekaan bukanlah sehari dua tetapi memakan masa berpuluh tahun lamanya dengan berbagai rundingan dan perjanjian dimeterai untuk membebaskan tanah air daripada penjajah.

Walaupun negara merdeka, semestinya kemerdekaan itu dikecapi dalam segenap aspek dan sudut bukanlah dalam konteks pentadbiran serta perundangan semata-mata. Walaupun negara merdeka kita tidak inginkan minda dan jiwa dijajah oleh proksi barat. Segala apa jua yang ingin dilakukan mestilah mengikut acuan sendiri dan jangan biarkan campur tangan asing sesekali berlaku di dalam negara ini. Kematangan politik juga perlulah dipertingkatkan agar kesuburan amalan demokrasi kekal menjadi jaminan terhadap kebebasan rakyat. 

Kita tidak mahu negara dijajah lagi. Oleh itu, bersatulah bangsa Malaysia sekalian dalam memacu negara ke mata dunia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Malaysia boleh. Biar berpantang maut sebelum ajal. Biar aral lalu melintang patah. Biar putih mata, jangan putih putih tulang. Semarakan perayaan Hari Kebangsaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negera.


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

MALAYSIA #Sehati Sejiwa

Sekian, Wabillah Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Sunday 31 July 2016

BULAN KEMERDEKAAN






Semarakan Bulan Kemerdekaan Negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, pejabat dan lain-lain lagi bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air.

Blog PENCETUS TRANSFORMASI [CELIK MINDA] ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia 2016 Masehi bersamaan 1437 Hijrah kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hargailah nikmat keamanan yang dinikmati hari ini dengan melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah swt dan penghargaan kepada para pejuang kemerdekaan yang telah membebaskan negara kita daripada cengkaman penjajah yang zalim lagi rakus mengeploitasi hasil kekayaan negara.

MALAYSIA... Sehati Sejiwa

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!



BEKALAN SEORANG PENDAKWAH

PEMBUKA KATA

  • Aktiviti yang mulia
  • Menyeru masyarakat dengan penuh hikmah ke arah jalan yang lurus
  • Menurut Al-Quran dan As-Sunnah
  • Menyuruh manusia membuat kebaikan dan menjauhi kemungkaran
  • Maka, pendakwah harus memiliki bekal-bekal yang diperlukan dalam berdakwah
 Dalam Surah Al-Baqarah ayat 197:

"berbekalah dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa dan bertaqwalah kepadaku wahai orang yang berakal"

Pepatah Arab ada menyebut,

"Orang yang mempunyai sesuatu tidak akan memberikan sesuatu kepada orang lain"


KEILMUAN

 1. Kemantapan Ilmu

Sebab perlu menguasai ilmu:

  • Tanpa ilmu runtuhlah dai'e itu dihadapan kebatilan kerana kejahilan atas apa yang disampaikannya

Seseorang dai'e perlu meliputi dua ilmu iatu:
  • Ilmu agama
  • Ilmu tentang keadaan orang yang hendak didakwahkannya
Firman Allah swt dalam tafsir Ibnu Katsir Surah Yusof ayat : 108

" Katakanlah! Inilah jalanku (agamaku). Aku dan orang-orang yang mengikutiku, mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata. Maha Suci Allah dan aku tidak termasuk dalam orang-orang yang musyrik". 

Makna "Basirah" (hujah yang nyata) dalam ayat ini ialah ILMU.

Melalui ilmu, sesorang dai'e akan mampu mempertahankan apa yang didakwahnya daripada segala bentuk kemusykilan menegakkan hujah terhadap penentangnya hinggalah kebenaran dapat ditegakkan.

2. Ilmu Tentang Keadaan Orang Yang Hendak Didakwahkan

Ketika Nabi Muhammad SAW mengutus Saidina Muaz ke Yaman, baginda memberi wasiat,

"Sesungguhnya engkau akan didatangi kaum daripada ahli kitab"  (HR Al-Bukhari)

Dalam hadis ini, Nabi SAW memberi tahu terlebih dahulu kepada siapa dia diutuskan hingga dia mengetahui siapa yang akan dihadapinya dan dapatlah dia mempersiapkan diri. Sebaliknya, jika seseorang da'ie tidak mengetahui keadaan orang yang hendak dia didakwahkan, maka akan memberi kesan buruk kepada dakwahnya kerana tidak terkena kepada sasaran.

Contohnya: jika dai'e itu ingin berdakwah di kawasan-kawasan kampung, maka memudahkan golongan kampung memahami isi dan dakwah yang disampaikannya oleh dai'e tersebut. Sebaliknya, jika dai'e itu ingin berdakwah di institusi pengajian tinggi (IPT), maka dia perlulah menggunakan pendekatan serta ayat-ayat gramatis yang mampu menarik perhatian dan memahamkan mahasiswa yang didakwahnya.

AKHLAK 

1. Ikhlas Dalam Berdakwah

  • Ada rasa kecintaan kepada Allah swt
  • Cinta kepada agama Allah swt
  • Cinta kepada saudara seagamanya
  • Mengharapkan kebaikan untuk orang yang didakwahnya

Firman Allah swt:

" Jika kamu berpaling (daripada peringatanku), aku tidak meminta upah sedikit pun darimu. Upahku tidak lain hanyalah daripada Allah belaka dan aku disuruh supaya termasuk golongan orang yang berserah diri (kepada-Nya)"  (Surah Yunus, 11: 72)

* Jika dakwah bukan kerana ikhlas tetapi kerana riak, mengharapkan kedudukan harta benda, penghargaan, puji-pujian maka tidak ada nilai dakwah tersebut.


2. Beramal Dengan Apa Yang Didakwah

- Menjadi suri teladan kepada orang lain tentang apa yang didakwahnya

Firman Allah swt:

"Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? itu sangat dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan"   
 (Surah As-Saff, 28: 2-3) 


3. Sabar Dalam Menyampaikan Dakwah

  • Sesorang dai'e iatu pendakwah pasti akan bertemu gangguan dalam dakwahnya
  • Hal ini kerana dalam menyampaikan dakwah amat sukar
  • Mesti melihat kesabaran yang dihadapi oleh para Nabi dan Rasul sebelum baginda Nabi SAW  
  
Firman Allah swt:

" Dan sesungguhnya telah didustakan (pula) rasul-rasul sebelum kamu, akan tetapi mereka sabar akan pendustaan dan penganiyaan (yang dilakukan) terhadap mereka, sampai datang pertolongan Kami terhadap mereka. Tidak seseorang pun dapat mengubah kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Dan sesungguhnya telah datang kepada kamu sebahagian daripada berita rasul-rasul "   

(Surah Al-An'am, 7: 34) 

Thursday 28 July 2016

PERKARA-PERKARA YANG DIBAWA DALAM DAKWAH ISLAMIAH

1. Persoalan Akidah Islamiah.

- Definisi Akidah:
  • Akidah dalam definisi umum ialah keimanan yang mantap dan hukum yang tegas, yang tidak dicampur keraguan terhadap orang yang menigimaninya. Ini adalah akidah secara umum tanpa memandang akidah tersebut benar atau tidak.
  • Akidah menurut syarak beerti Iman kepada Allah swt, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, para Rasul utusan-Nya, dan kepada Hari Kiamat serta kepada Qada' dan Qadar, baik takdir yang baik mahupun yang buruk.

 2. Faedah berdakwah dalam Akidah.

  • Akidah memberi kekuatan kepada jiwa.
  • Akidah Islamiah adalah asas persaudaraan / ukhwah dan persamaan.
  • Membentuk peribadi yang seimbang.
  • Berasa aman dari berbagai rasa takut dan cemas.
  • Membebaskan diri daripada penghambaan selain daripada Allah swt.

3. Dalil Akidah Yang Berkaitan Tentang Dakwah.

"Wahai orang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhanya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" 
 (Al-Baqarah: 208)

"Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembah-Ku. Dan bahawasanya amal ibadah seseorang tidak diterima kecuali bersumberkan dari Akidah yang benar." (Adh-Dhariyat: 56)

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan (para nabi) sebelum kamu. Jika kamu berbuat syirik nescaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang rugi".
(Az-Zumar: 65)

4. Persoalan Syariah Islamiah.

- Definisi Syariah
  • Beerti jalan yang digariskan untuk dijalani atasnya dan apa yang dimaksudkan denganya ialah kewajipan yang zahir yang dilaksanakan anggota-anggota.
  • Syariat yang dikehendaki Allah ialah yang mengatur kehidupan manusia dalam keseluruhan aspek, pemerintahan, perundangan, ekonomi, perniagaan dan sebagainya.

5. Halangan-Halangan Dalam Penerapan Dalam Syariah.

  • Jahil terhadap agama
  • Terlaksana sekularisasi dalam seluruh kehidupan
  • Berhukum dengan akal atas nama maslahat
  • Perselisihan antara aktivis Islam dalam dakwah Islam

6. Dalil Syariah Yang Berkaitan Tentang Dakwah.

"Dan hendaklah kamu semua memutuskan hukum di antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran) dan jangan menuruti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah jangan sampai mereka mempengaruhimu untuk meninggalkan sebahagian apa yang diturunkan oleh Allah kepadamu."
(Al-Ma'idah: 49)

"Dan barang siapa yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan maka mereka itu orang-orang kafir". 
(Al-Ma'idah: 44)

7. Persoalan Akhlak Islamiah.

- Definisi Akhlak:
  • Akhlak yang mulia adalah berbuat baik kepada orang lain, menghindari sesuatu yang menyakiti orang lain dan menahan diri ketika disakiti.

8. Kepentingan Akhlak Islamiah Dalam Dakwah.

  • Ikhlas dalam berdakwah
  • Bersabar terhadap apa yang menimpa diri dalam berdakwah ke jalan Allah swt
  •  Berbudi pekerti yang luhur dan menggunakan hikmah dalam dakwah yang disampaikan
  • Jujur dalam bertutur kata
  • Bersifat pemaaf terhadap orang yang menyakiti dan membalas keburukan dengan kebaikan

9. Dalil Akhlak Yang Berkaitan Tentang Dakwah.

"Maka bicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut".
(Tha'ha: 44)

"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kalian kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar". 
(Al-Ahzab: 7: 99) 

Tuesday 31 May 2016

ISLAM AGAMA RASMI MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Allahumma Solli Alla Sayidina Muhammad, Waalla Alihi Wasohbihi Wamaulana Muhammad. Allahumma Bariklana Fi Rejab Wa' Syaaban Wabaliqna Ramadan.

Alhamdulillah, baru-baru ini telah tercipta satu lembayung sejarah di bumi bertuah ini apabila Usul untuk meminda Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah telah dibaca buat kali pertamanya setelah empat kali diusulkan oleh YB Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Hj Hadi Awang di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia. 

Apa yang menarik perhatian penulis ialah hal ini menandakan kesuburan demokrasi di Malaysia tiada tolok bandingnya kerana kerajaan telah memberi laluan kepada beliau (YB Marang) untuk mengusulkan RUU ini walaupun beliau (YB Marang) bukan berada dalam kalangan parti pemerintah yakni Barisan Nasional (BN). Dalam hal ini, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kerajaan yang diterajui oleh YAB Datuk Seri Hj Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia kerana membenarkan usul ini dibaca tanpa mengira ideologi politik mahupun berbeza pendapat.

Saya berharap agar kesemua Ahli Parlimen BN dan pembangkang dapat menerima dan menyokong RUU tersebut lebih-lebih lagi Ahli Parlimen yang beragama Islam supaya kesucian Islam dan martabat Islam kekal terpelihara di dalam negara ini memandangkan Perlembagaan Persekutuan telah mengiktiraf Islam sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Ingatlah bahawa janji Allah swt itu pasti dan benar. Barang siapa yang menegakkan hukum Allah nescaya selamatlah dia daripada seksa azab Allah yang dasyat. Janganlah bermain dan mempersenda hukum Allah kerana Allah telah berfirman di dalam Al-Quran,

 
Akhir sekali, amatlah mendukacitakan apabila terdapat tiga orang Menteri Kabinet dan beberapa lagi Timbalan Menteri daripada parti MCA, GERAKAN dan MIC yang mengungut akan meletakkan jawatan jikalau RUU ini diluluskan di Dewan Rakyat. Oleh itu, saya mendesak supaya YAB Perdana Menteri mengambil tindakan tegas kepada mereka semua kerana telah mencampuri hal ehwal agama Islam kerana RUU ini hanya terpakai buat orang Islam sahaja. Mengapa kita sebagai orang Islam perlu tunduk kepada arahan orang bukan Islam. Sedarlah bahawa hukum ini adalah datang dari ALLAH bukan dari sesiapa pun. Justeru, saya amatlah menyokong pendirian Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah supaya ketiga-tiga menteri tersebut meletak jawatan segara kerana telah mengkhinati sokongan orang Melayu kepada mereka.

ISLAM ITU MUDAH TETAPI BUKAN DIPERMUDAHKAN.

Sekian, terima kasih

Wednesday 25 May 2016

DAULAT TUANKU

Semoga Allah Lanjutkan Usia dan Pemerintahan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan DYMM Raja Permaisuri Agong






MARHABAN YA RAMADAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah swt di atas segala riayahNya dapatlah kita menjalani kehidupan di atas muka bumiNya ini dan selawat serta salam ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW, seluruh keluarga baginda, para sahabat, tabi' tabiin, muslimin dan muslimat sekaliannya.


Amalkan doa ini supaya kita sentiasa dirahmati Allah dalam ketiga-tiga bulan ini.


Para pembaca budiman,

Selang beberapa hari lagi, kita bakal menjejakan kaki ke dalam bulan Ramadan Al-Mubarak bagi tahun 1437 Hijrah bersamaan 2016 Masehi. Satu bulan yang mempunyai satu-satunya malam yang istimewa iatu malam Lailatul Qadar, bulan yang diturunkan Al-Quran Al-Karim, bulan yang mempunyai Solat Sunat Tarrawih, bulan yang dibelenggu segala syaitan dan iblis laknatullah serta lain-lain lagi.

Di dalam Al-Quran, Allah swt telah berfirman,


"Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan kepada kalian ibadah puasa 
sebagaimana diwajibkan kepada umat-umat terdahulu supaya kalian menjadi
orang yang bertaqwa".

Dalam dalil di atas, Allah swt telah mewajibkan ibadah puasa kepada kita semua kerana ibadah ini bukanlah ibadah yang disyariatkan kepada kita (umat Muhammad SAW) sahaja tetapi telah diwajibkan juga kepada umat-umat yang terdahulu daripada kita. Oleh itu, marilah kita mengerjakan Rukun Islam ketiga ini supaya kita menjadi orang yang bertaqwa.

Seterusnya, terdapat banyak fadhilat-fadhilat di dalam bulan yang mulia ini antaranya ialah,



Akhir sekali, sebelum saya menamatkan penulisan, saya mendoakan semoga Allah swt mempertemukan kita ke dalam bulan Ramadan Al-Mubarak dan mengekalkan nikmat Islam serta Iman kepada kita semua. Aminn Ya Rabbal Alaminn.