Wednesday, 3 January 2018

Mahasiswa Holistik Atau Mahasiswa Persepsi?

Bismillahi Rahman Nir Rahim.
Assalamualaikum wbt dan Salam Aspresiasi Siswa.

Menjadi seorang mahasiswa sudah tentu dapat menentukan arah kejayaan seseorang. Menyambung pengajian di menara gading merupakan cabaran yang perlu ditempuhi oleh seseorang untuk merealisasikan cita-citanya. Tetapi apakah kita benar-benar menjadi seorang mahasiswa yang holistik ataupun menjadi mahasiswa yang hanya bermain akan persepsi.

Mengapa saya mengetengahkan soal holistik dan persepsi?

Pokoknya adalah adakah mahasiswa yang telah bergraduasi pada hari ini benar-benar berkualiti yang akan menyumbang kepada pembangunan kemajuan masyarakat ataupun sekadar menjadi mahasiswa yang mencakupi lumrah kehidupan iatu menyambung pengajian tinggi setelah menamatkan pembelajaran di peringkat rendah dan menengah.

Rata-rata daripada kita sering mengeluh apabila tamat bergraduasi tetapi masih menganggur kerana tidak mendapat peluang pekerjaan yang diidamkan. Saya melihat perkara ini sebagai satu perkara yang serius kerana sikap majikan sekarang ini tidak lagi melihat akan kelulusan akademik semata-mata tetapi mereka mahukan lebih daripada itu seperti kemahiran dan bakat yang dimiliki oleh seorang mahasiswa tersebut.

Maka mahasiswa seharusnya mengambil peluang yang ada semasa berada di kampus untuk mencungkil bakat yang ada dan membina identiti yang baru sehingga dapat menyakinkan pihak yang akan memberi pekerjaan kepada anda bahawa anda merupakan orang yang dikehendaki oleh mereka.

Kita juga sering mendengar tentang mahasiswa 3K iatu kuliah, kafe dan katil. Di era milenia ini, mahasiswa perlu sedar dan bangun dari mimpi yang indah kerana mendapat CGPA/PNGK yang tinggi tidak lagi menjamin kehidupan anda yang akan datang. Berhentilah bermain persepsi dan lihatlah kepada realiti hari ini yang rata-ratanya dari kalangan kita tidak mampu mengubah nasib kehidupan hatta mendapat kelulusan akademik yang boleh dibanggakan.

Menyentuh isu pengganguran, dari sudut perspektif yang saya lihat bahawa ada dari kalangan mahasiswa yang sudah bergraduasi terlalu memilih pekerjaan yang setara dengan bidang pengajiannya. Ini merupakan racun yang amat berbahaya kerana memilih pekerjaan akan menyebabkan tahap pengangguran semakin hari semakin meningkat sehingga memaksa pemain industri mengimport pekerja asing untuk menampung kekosongan pekerjaan yang tidak diisi oleh penduduk tempatan.

Selain itu, mahasiswa perlu sedar bahawa berada di alam pengajian tinggi bukanlah satu mimpi yang indah tetapi di sinilah tempat yang akan menentukan kehidupan anda di kemudian hari. Saya amat gusar melihat sikap mahasiswa sekarang yang tidak mengambil peduli soal pembelajaran sehinggakan memandang ringan terhadap kerja kursus, tutorial mahaupun kajian lapangan yang akan memberi kesan buruk ketika menghadapi peperiksaan akhir kelak.

Budaya 'copy & paste' semasa membuat kerja kursus perlulah dielakkan kerana kerja kursus ataupun assignment melambangkan tahap profesionalisme seseorang mahasiswa. Jikalau hanya 'copy & paste' sahaja, dimanakah kita akan mendapat mahasiswa yang berkualiti kerana kerjanya pun hanya 'copy & paste' sahaja.

Di samping itu, mahasiswa juga perlu aktif di dalam kampus dan melakukan aktiviti riadah untuk menjaga kesihatan dan mengembangkan minda. Kita tidak diajar untuk mengulangkaji pelajaran 24 jam sehingga 'terperap' di dalam bilik sekian lamanya sehingga mengabaikan aktiviti/ program luar yang lebih memberi faedah kepada kita tetapi kita kita diajar supaya mengimbangkan antara akademik dan kokurikulum. Seorang mahasiswa yang berjaya adalah seorang yang aktif di dalam bilik kuliah dan juga aktif di dalam aktiviti luar. Perkara ini akan merangsang minda mahasiswa akan lebih terbuka dan cakna terhadap perkembangan semasa.

Untuk mendapat satu lulusan graduan yang berkualiti, mahasiswa perlu peka akan perkara apakah yang patut dilakukannya dan perkara apakah yang patut dihindari oleh mereka. Sayang seribu kali sayang, terdapat juga segelintir mahasiswa yang terjebak di dalam platform yang salah sehingga menjerat diri mereka apabila dikenakan tindakkan tatatertib oleh pihak universiti. Apabila nama sudah dicemari dengan perbuatan yang menyalahi etika sebagai mahasiswa maka sudah pasti mereka ini akan bergelut dalam perjuangan untuk mendapatkan pekerjaan kelak.

Tuntasnya, kita perlulah menjadi seorang mahasiswa yang bijak dan boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan. Etika sebagai seorang mahasiswa perlu dijaga dan hormatlah kepada pensyarah anda walaupun kerap kali memberikan tugasan yang agak berat kerana redha seorang guru akan menjamin keberkatan pelajarnya.

Akhir kalam, saya suka menceritakan kisah Imam As-Syafie R.A. semasa beliau menuntut ilmu. Seperti mana yang diketahui, beliau hidup dalam keluarga yang serba kekurangan tetapi beliau gigih menuntut ilmu sehingga diangkat menjadi Imam Mazhab yang muktabar. Ketika belajar, beliau menulis apa yang diajar oleh gurunya dengan mengambil jari sebagai mata pena, air liur sebagai dakwatnya dan tapak tangan sebagai kertasnya. Beliau diejek oleh rakan sekelasnya oleh kerana perbuatannya yang dilihat sebagai sesuatu yang sia-sia. Tetapi beliau lantas menjawab "Untuk berjaya dalam peperangan perlu mempunyai senjata tetapi untuk berjaya dalam menuntut ilmu perlu ada catatan" dan "jika kamu tidak menahan peritnya belajar maka tanggunglah betapa peritnya kebodohan".

Sekian, Wallahu'alam Bissowab.

MUHASABAH DI AWAL TAHUN



Bismillahi Rahman Nir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah. Kita semua telah melangkah kaki ke tahun baru 2018 Masehi setelah tahun 2017 telah melabuhkan tirainya kira-kira tiga hari yang lalu. Sudah pasti seawal memasuki tahun baru, ramai dalam kalangan kita berpusu-pusu untuk melakukan azam baru yang perlu dicapai sepanjang tahun ini. Ada juga di kalangan kita yang membuat pelbagai perancangan untuk dicapai targetnya di penghujung tahun kelak. Meskipun begitu, walau seribu azam baru dan sejuta perancangan yang dibuat, kita perlulah kembali berfikir sejenak apakah perkara di bawah sudah kita mencapai sasarannya. Marilah kita muhasabah seketika.

Pertama, berapa ramaikah di kalangan kita pada tahun 2017 yang lalu apabila dilaungkan azan di masjid ataupun di surau bergegas untuk mendirikan solat fardhu secara berjemaah?

Persoalannya, ramai di kalangan kita memberikan alasan bahawa mendirikan solat boleh dilakukan dimana-mana sahaja tetapi apakah kita lupa bahawa mendirikan solat fardhu secara berjemaah merupakan perkara yang amat dituntut di dalam Islam dan amat dititikberatkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Kedua, berapa ramaikah di kalangan kita pada tahun 2017 yang lalu mengeluarkan sebahagian hartanya untuk diinfakkan ke jalan Allah swt (sedekah, wakaf, zakat, dsbg)?

Persoalannya, ramai di kalangan kita sanggup menghabiskan 'top up' telefon bimbit sekurang-kurangnya RM 30 sebulan untuk kelangsungan urusan duniawi tetapi apabila datangnya tabung masjid ataupun tuntutan mengeluarkan zakat ataupun wakaf dan sedekah, tangan kita berasa seolah-olah berat untuk melakukannya.

Sebagai contoh, ada di kalangan kita yang memasuki wang berjumlah RM 1 ke dalam tabung masjid ketika menunaikan solat Jumaat. Adakah kita berfikir, dalam sebulan hanya RM 4 sahaja saham kita di akhirat kelak berbanding kesanggupan kita membelanjakan wang kira-kira RM 30 untuk 'top up' telefon sahaja.

Ketiga, ramai di kalangan kita yang boleh menghabiskan bacaan akhbar kira-kira 60 muka surat yang kadangnya mengambil masa sehingga 30 minit untuk menamatkan bacaannya tetapi berapa ramaikah di kalangan kita yang menghabiskan helaian Al-Quran dalam sehari dan bergegas ke masjid apabila dilaungkan bait-bait azan untuk mendirikan solat fardhu secara berjemaah yang mengambil masa hanya 10-15 minit sahaja.

Sedarlah bahawa Allah swt mengurniakan masa kepada kita sehari sebanyak 24 jam tetapi Allah swt hanya memerintahkan kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya hanya 75 minit sahaja (lima waktu solat fardhu).

Keempat, berapa ramaikah di kalangan kita apabila bangunnya dari tidur melafazkan kalimah 'Alhamdulillah' dan membaca doa bangun tidur tetapi berapa ramaikah di kalangan kita apabila bangunnya tidur terus sahaja mencapai telefon bimbit untuk melayari aplikasi seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya tanpa melafazkan sekurang-kurangnya 'Alhamdulillah'.

Ingatlah saudaraku sekalian bahawa nyawa itu merupakan satu anugerah yang amat bernilai sekali. Lebih mahal dari emas dan perak, lebih bernilai dari nilam dan permata dan tiada satu pun makhluk yang boleh mencipta nyawa selain daripada Allah swt. Oleh itu, hargailah nikmat kehidupan ini kerana Allah swt masih memberikan peluang kepada untuk menelusuri kehidupan ini tanpa mematikan kita ketika tidur.

Akhir sekali, berapa ramaikan di antara kita yang hidup di atas muka bumi ini, yang mengaku beriman kepada Allah swt dan Nabi Muhammad S.A.W yang berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan mimpi kepada kita untuk bertemu dan melihat wajah kekasih Allah swt yang amat mencintai kita semua ini?.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan mimpi kepada kita untuk melihat wajah Nabi Muhammad S.A.W walaupun sekali. Tidakkah kita merindui baginda S.A.W yang amat mencintai kita semua. Marilah kita berselawat kepada baginda S.A.W.

Semoga kita semua dapat bermuhasabah seketika apakah kita selama ini mengejar perkara-perkara duniawi sehingga kita melupakan ganjaran yang dijanjikan di akhirat kelak. Semoga kita semua tergolong dalam hamba Allah swt yang bertaqwa dan berada di bawah lembayung Arasy-Nya.

Wallahu'alam Bissowab.