Wednesday, 3 January 2018

MUHASABAH DI AWAL TAHUN



Bismillahi Rahman Nir Rahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillah. Kita semua telah melangkah kaki ke tahun baru 2018 Masehi setelah tahun 2017 telah melabuhkan tirainya kira-kira tiga hari yang lalu. Sudah pasti seawal memasuki tahun baru, ramai dalam kalangan kita berpusu-pusu untuk melakukan azam baru yang perlu dicapai sepanjang tahun ini. Ada juga di kalangan kita yang membuat pelbagai perancangan untuk dicapai targetnya di penghujung tahun kelak. Meskipun begitu, walau seribu azam baru dan sejuta perancangan yang dibuat, kita perlulah kembali berfikir sejenak apakah perkara di bawah sudah kita mencapai sasarannya. Marilah kita muhasabah seketika.

Pertama, berapa ramaikah di kalangan kita pada tahun 2017 yang lalu apabila dilaungkan azan di masjid ataupun di surau bergegas untuk mendirikan solat fardhu secara berjemaah?

Persoalannya, ramai di kalangan kita memberikan alasan bahawa mendirikan solat boleh dilakukan dimana-mana sahaja tetapi apakah kita lupa bahawa mendirikan solat fardhu secara berjemaah merupakan perkara yang amat dituntut di dalam Islam dan amat dititikberatkan oleh baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Kedua, berapa ramaikah di kalangan kita pada tahun 2017 yang lalu mengeluarkan sebahagian hartanya untuk diinfakkan ke jalan Allah swt (sedekah, wakaf, zakat, dsbg)?

Persoalannya, ramai di kalangan kita sanggup menghabiskan 'top up' telefon bimbit sekurang-kurangnya RM 30 sebulan untuk kelangsungan urusan duniawi tetapi apabila datangnya tabung masjid ataupun tuntutan mengeluarkan zakat ataupun wakaf dan sedekah, tangan kita berasa seolah-olah berat untuk melakukannya.

Sebagai contoh, ada di kalangan kita yang memasuki wang berjumlah RM 1 ke dalam tabung masjid ketika menunaikan solat Jumaat. Adakah kita berfikir, dalam sebulan hanya RM 4 sahaja saham kita di akhirat kelak berbanding kesanggupan kita membelanjakan wang kira-kira RM 30 untuk 'top up' telefon sahaja.

Ketiga, ramai di kalangan kita yang boleh menghabiskan bacaan akhbar kira-kira 60 muka surat yang kadangnya mengambil masa sehingga 30 minit untuk menamatkan bacaannya tetapi berapa ramaikah di kalangan kita yang menghabiskan helaian Al-Quran dalam sehari dan bergegas ke masjid apabila dilaungkan bait-bait azan untuk mendirikan solat fardhu secara berjemaah yang mengambil masa hanya 10-15 minit sahaja.

Sedarlah bahawa Allah swt mengurniakan masa kepada kita sehari sebanyak 24 jam tetapi Allah swt hanya memerintahkan kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya hanya 75 minit sahaja (lima waktu solat fardhu).

Keempat, berapa ramaikah di kalangan kita apabila bangunnya dari tidur melafazkan kalimah 'Alhamdulillah' dan membaca doa bangun tidur tetapi berapa ramaikah di kalangan kita apabila bangunnya tidur terus sahaja mencapai telefon bimbit untuk melayari aplikasi seperti WhatsApp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya tanpa melafazkan sekurang-kurangnya 'Alhamdulillah'.

Ingatlah saudaraku sekalian bahawa nyawa itu merupakan satu anugerah yang amat bernilai sekali. Lebih mahal dari emas dan perak, lebih bernilai dari nilam dan permata dan tiada satu pun makhluk yang boleh mencipta nyawa selain daripada Allah swt. Oleh itu, hargailah nikmat kehidupan ini kerana Allah swt masih memberikan peluang kepada untuk menelusuri kehidupan ini tanpa mematikan kita ketika tidur.

Akhir sekali, berapa ramaikan di antara kita yang hidup di atas muka bumi ini, yang mengaku beriman kepada Allah swt dan Nabi Muhammad S.A.W yang berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan mimpi kepada kita untuk bertemu dan melihat wajah kekasih Allah swt yang amat mencintai kita semua ini?.

Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan mimpi kepada kita untuk melihat wajah Nabi Muhammad S.A.W walaupun sekali. Tidakkah kita merindui baginda S.A.W yang amat mencintai kita semua. Marilah kita berselawat kepada baginda S.A.W.

Semoga kita semua dapat bermuhasabah seketika apakah kita selama ini mengejar perkara-perkara duniawi sehingga kita melupakan ganjaran yang dijanjikan di akhirat kelak. Semoga kita semua tergolong dalam hamba Allah swt yang bertaqwa dan berada di bawah lembayung Arasy-Nya.

Wallahu'alam Bissowab.

No comments:

Post a Comment