Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1 Malaysia.
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt dengan segala puji-pujian dipanjatkan ke pada-Nya di atas limpahan kurniaan rezeki yang melimpah ruah serta diberi iman dan Islam, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W penutup kepada Rasul dan para Anbiya serta salam sejahtera ke atas kerabat baginda, para sahabat, tabbi' tabbie' dan para assatizah alim ulama.
Sidang pembaca yang budiman,
Hari ini saya akan membincangkan antara beberapa faktor kelemahan generasi Y (Melayu) era Alaf 21 ini. Umum mengetahui bahawa zaman kini merupakan dunia di hujung jari. Pelbagai maklumat boleh diakses dengan mudah dan pantas tanpa perlu pergi ke kafe siber lagi. Hanya satu klik sahaja semua maklumat boleh diakses dan muat turun.
Justeru, perkara di bawah merupakan jawapan bagi menjawab persoalan di atas.
1. Malas membaca
Boleh dikatakan hampir sebahgian besar generasi y mempunyai sikap acuh tidak acuh apabila hendak membaca. Membaca diibaratkan seperti batu yang perlu ditanggung dari Perlis hingga ke Johor. Budaya malas membaca ini akan mengakibatkan bangsa Melayu akan mundur ke belakang dan jauh ketinggalan daripada bangsa yang bukan Melayu. Peribahasa ada mencatatkan "Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya". Oleh itu, hal ini menjadi cabaran kepada bangsa Melayu terutamanya generasi Y yang memandang ringan dalam soal membaca.
Allah swt telah berfirman dalam Surah Al-Alaq ayat 1 yang merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad swt di Gua Hira' pada tanggal 17 Ramadan mafhumnya "إقرأ" yang bermaksud 'bacalah (wahai Muhammad)".
Justeru, sejauh manakah budaya membaca dapat menjadi amalan bagi generasi y supaya survival bangsa dapat dipertahankan dan dapat melahirkan para cendekiawan ilmu dalam pelbagai bidang pada zaman milenium ini. Saya tidak menafikan terdapat juga generasi y yang menjadi ulat buku seraya berharap agar anda dapat meraih apa jua impian anda yang diingini.
2. Hiburan yang melalaikan
Hiburan pada masa ini tidak dapat dipisahkan walaupun sesaat. Dalam konteks Islam, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur tetapi mempunyai garis panduannya dan adab etika. Tidak salah untuk berhibur asalkan kita tahu membezakan perkara yang baik dan perkara yang lagha.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah swt dalam Surah Al-Mu'minum ayat 1-4 yang bermaksud "Maka berjayalah orang yang beriman, iatu orang yang khusyuk dalam solatnya, iatu orang yang mengeluarkan zakat, iatu orang yang tidak melakukan perkara yang sia-sia (lagha)".
3. Rokok dan Vape
Merokok dan menghisap vape tiada bezanya pada zaman ini. Lebih membimbangkan terdapat remaja bawah umur sudahpun berjinak-jinak dengan merokok apatah lagi menghisap vape. Lagi menyedihkan di depan mata saya sendiri saya melihat seorang murid darjah 2 sudah berjinak-jinak dengan vape. Masya Allah. Saya amatlah risau melihat fenomena ini semakin menular dalam kalangan anak-anak muda Melayu hari ini. Ingatlah bahawa dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan telah memutuskan rokok dan vape adalah haram di sisi agama Islam.
4. Dadah
Tempoh hari saya telah menghadiri Bengkel Jenazah yang diuruskan oleh Masjid Aman, Alor Setar, Kedah. Penceramah yang mengendalikan bengkel tersebut telah berkongsi dengan saya tentang programnya bersama penagih dadah di dalam pusat sehenti ataupun sekarang dikenali sebagai 'Cure & Care Clinic" di bawah seliaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Beliau memaklumkan hampir 98%penghuni pusat tersebut merupakan bangsa Melayu. Allahu Akhbar. Luluh hati saya mendengarkan perkara tersebut. Saya hanya memikirkan apa yang akan berlaku kepada bangsa saya sepuluh tahun yang akan datang jika sebahagian besar generasi y sudah terjerumus dalam kancah najis dadah.
5. Budaya lumba haram
Saya ingin bertanya bangsa manakah yang terlibat dalam perilaku tersebut? Sudah semestinya bangsa Melayu. Saya bukan ingin menghina bangsa saya tetapi saya sedih melihat mengapakah bangsa Melayu terutamanya generasi y terlibat dalam aktiviti yang mampu mengancam nyawa mereka dan masyarakat awam. Adakah golongan ini yang akan mewarisi tampuk pemerintahan negara? Wallahualam Bissowab.
6. Menghina pemimpin
Hari ini kita semua telah dihidangkan dengan media sosial oleh kerajaan untuk meningkatkan kadar celik ICT. Malangnya kemudahan dan platform ini telah disalahguna oleh segelintir pihak termasuklah generasi y untuk menyebarkan dakyah adu domba, fitnah munafikun, kata cacian kepada pemimpin, menghina Raja-Raja Melayu dan sebagainya. Lebih malang apabila terdapat tindakan lanjut kepada pihak yang terlibat terbabit dikenakan ada juga suara-suara sumbang yang mengatakan kerajaan zalim, tidak berperikemanusiaan, mencabuli hak asasi manusia dan sebagainya. Tidakkah mereka lupa bahawa hukum menfitnah ialah berdosa besar dan lebih berat daripada membunuh.
Sekian sahaja yang dapat saya berkongsi antara faktor kelemahan generasi y pada hari ini. Barangkali terdapat juga faktor-faktor lain tetapi sehingga di sini sahaja yang dapat saya berkongsi dengan kalian.
Semoga Allah swt merahmati anda setiap masa.
Wallahualam Bissowab.
No comments:
Post a Comment