Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Syukur ke hadrat Allah swt kerana dengan segala rahmat dan riayah-Nya dapatlah kita hidup di atas dunia yang sementara ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W serta seluruh kerabat dan sahabat baginda.
Para pembaca yang budiman,
Hari ini kita telah dihidangkan dengan pelbagai nikmat dalam kehidupan seperti nikmat Islam, iman, nyawa, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, hidup dalam keadaan aman dan stabil dari segi sosioekonomi dan politiknya serta berbagai nikmat yang lain. Tetapi adakah kita semua sebagai seorang muslim telah menzahirkan kesyukuran kepada Maha Pencipta iatu Allah Azza Wajjalla atas kurniaan nikmat ini kepada diri, keluarga, masyarakat mahupun negara? Jika ya, Alhamdulillah dan jika tidak, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada Allah swt dengan kalimah Alhamdulillah.
Di dalam Al-Quran, Surah Ar-Rahman, Allah swt telah berfirman beberapa kali di dalam ayat-Nya marhumnya "Nikmat apakah lagi yang kamu dustakan". Saya amatlah gusar dan khuatir apabila membaca ayat ini kerana takutkan azab Allah yang dasyat tiada tolok bandingnya jikalau terdapat nikmat kurnian-Nya yang tidak disyukuri.
Oleh itu, sebagai satu platform untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah swt ialah dengan melaksanakan segala perintah-Nya selain meninggalkan segala tegahan-Nya. Antaranya ialah dengan mendirikan solat.
Ibadah solat merupakan tiang bagi agama. Solat disyariatkan oleh Allah swt kepada Nabi Muhammad S.A.W secara terus kepada baginda pada malam Isra' dan Mikraj baginda. Justeru, sebagai hamba Allah yang kerdil ini mengapakah terdapat segelintir daripada kalangan kita secara konsisten mengabaikan tuntutan solat yang difardhukan ke atasnya lima kali sehari semalam. Marilah kita mendoakan supaya Allah swt membuka hatinya untuk mengabdikan dirinya dengan lebih khusus dan khusyuk kepada Allah swt.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Mu'minum ayat 1 dan 2 yang bermaksud, "Maka berjayalah orang yang beriman, iatu orang yang khusyuk dalam solatnya". Ayat ini memberi gambaran dengan jelas kepada kita bahawa apabila kita khusyuk dalam solat, kita akan menjadi seorang Mukmin yang berjaya. Selain itu, di dalam ayat oni juga Allah swt berfirman supaya mengeluarkan zakat, menjaga kemaluan bagi lelaki dan perempuan kerana golongan yang Allah swt sebutkan di dalam surah ini akan mewarisi syurga Firdaus.
Selain itu, bagi mengukuhkan solat teras kejayaan ummah ialah di dalam azan itu sendiri. Lafaz "حي الفلح" membawa erti "marilah menuju kejayaan" selepas lafaz "حي الصلاه " yang beerti "marilah sembahyang". Maka jelaslah bahawa solat merupakan elemen penting dalam mengukuhkan ketaqwaan kepada Allah swt selain membawa kepada kejayaan ummah.
Secara tuntas, untuk menjadi seorang yang berjaya maka penuhi tuntutan solat yang difardhukan ke atas diri kita. Sesudah itu, hendaklah memasang niat yang baik kerana Rasulullah S.A.W bersabda " setiap perbuatan dimulai dengan niat". Ingatlah apabila niat baik yang belum dikerjakan sudah mendapat satu kebaikan apatahlagi direalisasikan yang sememangnya memperoleh sepuluh kebaikan.
Wallahualam Bissowab.
No comments:
Post a Comment