Sunday 7 August 2016

HAYATI ERTI KEMERDEKAAN






Bismillah Hi Rahman Nir Rahim. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1 Malaysia, Salam Muafakat Kedah dan Salam Sehati Sejiwa.

Inalhamdulillah Wanastainuhu Wanastaqfirlahu, Maiyahdillah Mudhilallah Fal'lla Ha Diya'lah, Fusikum Wai'yya Bitaqwallah, Faqad Fazal Muttaqun.


Merdeka. Itulah kalimah yang membawa erti kebebasan daripada kebelenguan rakusan penjajah yang zalim dan tidak prikemanusiaan. Kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini bukanlah datang secara bergolek tetapi memerlukan jerih payah pengorbanan dan kesabaran para pejuang kemerdekaan untuk mendapat kebebasan negara daripada cengkaman penjajah yang telah bertapak berkurun lamanya di bumi Malaysia ini sejak tahun 1511 lagi.

Daripada Empayar Kesultanan Melayu Melaka, Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Johor, Negeri- negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu sehinggalah Persekutuan Malaysia pada hari ini telah menyaksikan bahawa perjuangan untuk menuntut kemerdekaan tidak berhenti begitu sahaja sehinggalah negara kita mendapat status kemerdekaan mutlak pada tanggal 31 Ogos 1957.

Sidang pembaca sekalian,

Sungguhpun negara kita telah merdeka selama 60 tahun, tetapi sayangnya terdapat segelintir rakyat yang masih mempunyai tahap mentaliti rendah dalam menyuburkan semangat patriotisme. Hal ini demikian kerana golongan tersebut tidak bijak dalam membezakan antara patriotisme dan politik. Apabila patriotisme disalahertikan sebagai politik, maka penghayatan erti kemerdekaan  akan berkurangan dalam jiwa dan minda. Ingatlah bahawa proses mendapatkan kemerdekaan bukanlah sehari dua tetapi memakan masa berpuluh tahun lamanya dengan berbagai rundingan dan perjanjian dimeterai untuk membebaskan tanah air daripada penjajah.

Walaupun negara merdeka, semestinya kemerdekaan itu dikecapi dalam segenap aspek dan sudut bukanlah dalam konteks pentadbiran serta perundangan semata-mata. Walaupun negara merdeka kita tidak inginkan minda dan jiwa dijajah oleh proksi barat. Segala apa jua yang ingin dilakukan mestilah mengikut acuan sendiri dan jangan biarkan campur tangan asing sesekali berlaku di dalam negara ini. Kematangan politik juga perlulah dipertingkatkan agar kesuburan amalan demokrasi kekal menjadi jaminan terhadap kebebasan rakyat. 

Kita tidak mahu negara dijajah lagi. Oleh itu, bersatulah bangsa Malaysia sekalian dalam memacu negara ke mata dunia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Malaysia boleh. Biar berpantang maut sebelum ajal. Biar aral lalu melintang patah. Biar putih mata, jangan putih putih tulang. Semarakan perayaan Hari Kebangsaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cinta kepada negera.


MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

MALAYSIA #Sehati Sejiwa

Sekian, Wabillah Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments:

Post a Comment