Sunday, 14 August 2016

POKEMON GO. APA KESUDAHANNYA?

POKEMON GO, SATU APLIKASI MELALAIKAN UMAT ISLAM

Bismillah Hi Rahman Nir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1 Malaysia dan Salam Muafakat Kedah.

Demam Pokemon Go kini telah melanda negara kita. Aplikasi ini telah diciptakan di Amerika Syarikat lewat bulan Jun 2016 dan kini aplikasi Pokemon Go boleh dimuat turun dalam aplikasi 'Play Store' dan lain-lain lagi. Dalam konteks agama Islam, Islam tidak melarang umatnya untuk berhibur apatah lagi untuk bermain permainan asalkan permainan tersebut tidak membawa kepada kemudaratan diri, ancaman keselamatan dan melalaikan. Islam juga membenarkan umatnya untuk bermain permainan atau bersukan yang boleh menyihatkan tubuh badan dan mencergaskan otak. Namun begitu, terdapat batasan-batasan yang perlu dipatuhi oleh umat Islam dalam bermain permainan dalam bentuk maya atau lahiriah. Antaranya ialah tidak meninggalkan 'Hublum Minallah, Wahablum Minan Nas' iatu perhubungan dengan Allah yakni menjalankan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya, menjalinkan hubungan silaturrahim sesama insan.

Sebenarnya aplikasi Pokemon Go ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada umat Islam bahkan mendatangkan pelbagai ancaman keselamatan terhadap diri, keluarga dan negara selain membawa kepada kelalaian dalam melaksanakan tuntutan syariat Islam. Apabila keburukan lebih banyak daripada kebaikan, maka hukum menurut kaedah Fiqh Islami adalah haram. Justeru, menyedari tentang bahayanya permainan Pokemon Go ini, maka Mufti-Mufti di negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Wilayah Persekutuan dan Terengganu telah menfatwakan bahawa aplikasi permainan Pokemon Go adalah haram dan umat Islam dilarang untuk bermain aplikasi ini. Hal ini juga telah disepakati dalam Muzakarah Kebangsaan Malaysia.

Saya juga menyokong dengan saranan Menteri Besar Kedah Darul Aman, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanifah supaya diwujudkan satu undang-undang khusus untuk menyekat permainan ini dari segi aspek penguatkuasaan. Oleh itu, menyedari tentang ancaman permainan kepada keselamatan negara, maka pihak yang berkenaan perlulah mengambil tindakkan yang sewajarnya supaya keselamatan negara sentiasa terpelihara. Saya berharap agar permainan Pokemon Go ataupun apa-apa permainan yang boleh membahayakan nyawa dan memberi ancaman terhadap keselamatan negara serta melalaikan umat Islam dapatlah disekat dan dikenakan tindakkan yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


No comments:

Post a Comment